Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd Roslan Mahayudin (kiri) diiringi Pengarah Eksekutif de Market, Khor Hui Sin (kanan) melihat harga barang-barang asas keperluan semasa membuat tinjauan sempena Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 di Pasaraya de Market, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Harga maksimum telur gred A sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 adalah 44 sen.

Pengarah Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, harga itu naik enam sen berbanding musim perayaan sama tahun lalu.

Jelasnya, harga maksimum telur gred B dan C pada musim perayaan Krismas ini pula adalah 43 sen dan 42 sen.

“Kenaikan kepada 44 sen ini tidak dapat dielakkan berbanding 38 sen kerana harganya naik di peringkat ladang dan memberi kesan kepada pemborong seterusnya kepada pengguna.

“Namun baru-baru ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, (Datuk Salahuddin Ayub) telah mengumumkan harga telur turun dua sen.

“Jadi saya berharap pihak peniaga dapat menyelaraskan harga telur mengikut harga semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Skim Kawalan Harga Musim di Perayaan Krismas 2018 di Pasaraya de Market di sini hari ini.

Harga harga telur ayam menjadi isu kerana mengalami kenaikan ketara baru-baru ini dan masih kedengaran keluhan pengguna walaupun Salahuddin mengumumkan harga telur ayam daripada setiap gred akan kembali diturunkan sebanyak dua sen pada minggu lalu.

Ini selepas pengeluar telur ayam bersetuju untuk mengurangkan harga telur di peringkat ladang sebanyak dua sen bagi menstabilkan harga telur di pasaran.

Salahuddin berkata, kenaikan berkenaan berpunca daripada kematian ayam di beberapa ladang yang disyaki dijangkiti virus avian influenze H5 dan H7 (selsema burung). – MalaysiaGazette