Datuk M. Sambanthan

KUALA LUMPUR – Parti mesra Barisan Nasional (BN), Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) mahu Senator P. Waytha Moorthy diberi peluang untuk memartabatkan semula perpaduan dalam negara.

Presidennya, Datuk M. Sambanthan berkata, desakan rakyat berbilang kaum bersama petisyen yang ditandtangani 300,000 orang meminta Waytha Moorthy dilucutkan JAWATAN dari Kabinet bukannya satu jalan penyelesaian.

“Kami IPF tidak bersetuju dengan desakan meminta beliau dipecat dari Kabinet kerana ia tidak akan membawa sebarang perubahan dalam situasi semasa yang dilanda negara ketika ini.

“Apa yang boleh dilakukan ialah Waytha perlu diberi peluang segera menyelesaikan perkara ini mengembalikan semula perpaduan.

“Jika beliau masih gagal melaksanakan tanggungjawab itu, maka kami IPF mahu dan akan mendesak beliau berundur serta merta dari JPM kerana keharmonian dan perpaduan aset negara dan tidak boleh dibenarkan dicabul sesiapa sahaja,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Pejabat parti itu di Hulu Langat.

Senator Dewan negara itu juga kesal dan mempersoalkan perpaduan di antara menteri Kabinet dan ahli Parlimen Pakatan Harapan yang langsung tidak mahu mempertahankan serta membantu Waytha menyelesaikan kemelut yang tercetus ketika ini.

“Mereka kelihatan seperti tidak mahu mencampuri menyelesaikan kemelut yang dihadapi Waytha,” ujarnya.

Beliau menasihati PH supaya mencontohi blok pembangkang yang masih bersatu walaupun kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

“Ketika Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk C. Sivarrajh diarah meninggalkan dewan rakyat, semua ahli Parlimen BN mempertahankanya dengan menonjolkan semangat setiakawan dan perpaduan yang ikhlas dan jitu.

“Satu lagi yang menggores hati ialah Kabinet kerajaan PH yang dianggotai empat menteri dan seorang timbalan menteri dalam kalangan pemimpin India tidak menunjukkan semangat setiakawan sesama sendiri.

“Selain itu desakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendesak Waytha berundur segera jelas menunjukkan tidak wujud permuafakatan dan kerjasama sesama menteri walaupun kongsi semeja dalam Kabinet kerajaan.

“Syed Saddiq sepatutnya menumpukan perhatian dalam soal pembangunan sosial golonga belia yang sangat memerlukan ketika ini, tidak perlulah cuba berlagak seperti hero dalam hal ini,’ katanya.

Sambanthan turut menasihati masyarakat supaya tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengugurkan Waytha.

“Tun M lebih arif dalam perkara sebenar dan perdana menteri itu tahu melaksanakan perkara yang berfaedah untuk pembangunan masyarakat serta negara.

“Maka kita tidak perlulah sibuk ajar atau mendesak beliau apa yang harus dilakukan dalam soal Waytha.

“Yang penting rakyat harus yakin dengan kepimpinan beliau walaupun wujud kekurangan di sana sini dalam pembentukan kerajaan di bawah PH,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama, IPF menyatakan  akan membantu kempen calon MIC yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari 2019.

“Kami akan menurunkan seluruh jentera kami untuk bertemu dengan kaum India di sana termasuk masyarakat lain dan akan berkempen dengan fakta demi BN mempertahankan kerusi itu daripada calon PH,” ujarnya. – MalaysiaGazette