Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2018.

PETALING JAYA – Pas akan selama-lamanya menjadi parti pembangkang memandangkan kekuatannya hanya sedikit berbanding UMNO yang sudah lemah.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, andaian Pas yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya akan berkuasa dalam tempoh masa yang singkat atau tidak lebih lima tahun merupakan satu perkara yang tidak tepat.

“Saya pernah katakan dulu saya (PH) tak mau jadi pembangkang lama. Alhamdulillah Allah sudah makbulkan dan kita berjaya memebentuk kerajaan.

“Pas pernah irihati dulu kita ajak bersama dengan kita mereka tak nak sebab perjuangannya mereka adalah Islam. Tapi (sebenarnya) kita lebih daripada Islam kerana mahu sistem pentadbiran yang tidak rasuah dan ekonomi yang baik.

“Jadi, kalau mereka andaikan kita akan akan survive lima tahun itu tak berapa tepat pasal kalau lihat realiti di mana UMNO sekarang? Di mana Barisan Nasional sekarang?,” soalnya  dalam satu temubual khas di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa PH hanya akan berkuasa hanya selama lima tahun berikutan pelbagai polemik yang dialami pakatan parti itu ketika ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin tidak menafikan keupayaan Pas berdepan situasi besar terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) namun akhirnya ia bergantung kepada kehendak rakyat memilih siapa yang mahu dijadikan kerajaan.

Katanya, seperti contoh, parti yang mendakwa mendokong perjuangan Islam itu mempunyai kepakaran dalam mendepani situasi berkaitan sentimen sehingga mampu menarik sokongan sekiranya mengadakan perhimpunan seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh Pas itu tidak dapat diterjemah dalam maksud yang sebenar kerana parti itu sendiri dinilai oleh rakyat.

Katanya, meskipun berjaya menganjurkan perhimpunan namun Pas tidak mampu menarik hati rakyat untuk mengundi mereka dan setiap kali pilihan raya berlangsung parti itu tidak pernah menang.

“Memang kalau dia (Pas) buat perhimpunan ramai orang akan datang. Bukan sahaja bila buat perhimpunan ICERD, tapi mengundi kalah juga.

“Sampai pilihan raya siapa sokong. Berapa peratus sokong Pas. Bagi saya sokongan rakyat menentukan kuasa kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette