manchester United
Legenda Man United yakin Zidane merupakan calon paling berkualiti yang layak menguruskan kelab MU secara tetap.

LONDON – Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha menyokong Zinedine Zidane mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jose Mourinho di kelab itu.

Saha percaya bekas Pengurus Real Madrid itu merupakan calon terbaik untuk mengembalikan era kegemilangan yang terlepas dari tangan the Red Devils sejak pengunduran Sir Alex Ferguson tujuh tahun lalu.

United dalam proses memburu pengurus tetap selepas Mourinho dipecat pada Selasa lalu.

Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim ini.

Sementara itu United sedang berusaha untuk memujuk calon pilihan utamanya, Mauricio Pochettino yang kini mengemudi Tottenham Hotspurs.

Sebagai rekod, Zidane berjaya membantu Galacticos menjulang Liga Juara-Juara Eropah slama tiga musim berturut-turut sebelum meninggalkan La Liga pada 2018-19.

Dalam wawancara khas bersama Omnisport, Saha menyokong bekas rakan sepasukan itu untuk mengembalikan era kegemilangan di Theatre of Dreams.

“Bagi saya, saya merupakan penyokong tegar Zidane, dia seorang pemain, jurulatih yang hebat yang tiada tandingannya.

“Dia menunjukkan reaksi positif mengenai isu mengaitkan dia dengan kelab MU,” katanya. – MalaysiaGazette