Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan berkahwin dengan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group, Lee Yeow Seng pada 29 Mac akan datang.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan berkahwin dengan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group, Lee Yeow Seng pada 29 Mac akan datang.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. E. Santhara telah ‘mencantas’ Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham untuk menjadi orang paling kaya dalam Pakatan Harapan.

Di Bakri pula, Ahli Parlimennya, Yeo Bee Yin dilaporkan mungkin sudah bertemu jodohnya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties, Lee Yeow Seng.

Sinchew Daily melaporkan, senarai pengisytiharan harta yang dikemas kini menunjukkan Santhara yang pernah aktif dalam perniagaan mengisytiharkan harta bernilai lebih RM132 juta, mengatasi RM82 juta yang diisytihar Koo Ham.

Pendapatan bulanan Santhara sebagai Ahli Parlimen ialah RM45,000, tetapi beliau menunaikan janji pilihan raya dengan menerima hanya RM1 dan menggunakan baki elaun Ahli Parlimen untuk membantu golongan yang memerlukan.

Santhara pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Masterskill yang berkecimpung dalam perkhidmatan pendidikan bidang kesihatan.

Selepas Santhara dan Koo Ham, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir menduduki tempat ketiga dan keempat dari segi jumlah harta yang diisytiharkan.

Dalam perkembangan lain turut membabitkan Ahli Parlimen Bakri, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan telah bertemu dengan seorang “lelaki istimewa” dalam hidupnya.

Ahli Parlimen Bakri itu dilaporkan sedang berkawan dengan Lee Yeow Seng, anak bongsu kepada pengasas Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng.

Yeow Seng, 40, kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties. – MalaysiaGazette