JOHOR BAHRU- Tiga krew sebuah kapal kargo masih lagi hilang selepas dek kapal berkenaan tenggelam kira-kira 3.3 batu nautika di timur Tanjung Sepang, dekat Kota Tinggi.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim, Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat terus diaktifkan sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut kira-kira 2 petang tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat melibatkan tiga kapal dan sebuah bot daripada APMM dan kami juga dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dan polis marin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengikut maklumat yang diterima daripada kapten kapal, kapal berkenaan mengalami kerosakan enjin dan menyebabkan sterengnya tidak boleh beroperasi.

Manakala ombak kuat pula menyebabkan kapal tersebut berlanggar dengan kapal lain.

Kesan pelanggaran tersebut menyebabkan kapal berkenaan karam sebelum ia tenggelam di lokasi yang dilaporkan.

Menurut Aminuddin, terdapat sembilan krew di atas kapal berkenaan semasa kejadian berlaku namun enam daripadanya berjaya diselamatkan.-MalaysiaGazette