PARIT – Gara-gara tidak berpuas hati akibat dimarahi isteri, dipercayai motif seorang lelaki nekad membunuh seorang lelaki warga Bangladesh sebelum membuang mayatnya ke dalam Sungai Kinta, Kampung Gajah, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata, pada hari kejadian, suspek yang berumur 21 tahun memberitahu isterinya beliau telah keluar makan bersama mangsa yang juga pekerja di ladang lembu milik keluarganya di Kampar.

Mohamad Zainal berkata, bagaimanapun mangsa menafikan perkara itu apabila ditanya oleh isteri suspek.

“Suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana menyebabkan dia dimarahi isterinya dan isu tersebut melarat sehingga suspek nekad membunuh mangsa sebelum dibuang ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, hasil risikan dan siasatan, pihak polis menahan suspek di rumahnya di Kampar kira-kira 3.15 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh pada petang 15 Disember lalu sebelum dibuang di sungai tersebut kira-kira 10 kilometer dari ladang mereka bekerja,” katanya sambil menambah suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian pada 18 Disember lalu, mangsa, MD Ovaidul Khan, 32, ditemui mati dalam keadaan terapung selepas tersangkut pada pokok di Sungai Kinta dengan keadaan kaki kanan diikat dengan sebuah motosikal dipercayai digunakan sebagai pemberat untuk menenggelamkan mayat mangsa. – Bernama