KUALA LUMPUR – “Kalau masih tidak boleh tidur, bacalah doa mohon kepada Allah untuk mudah tidur dan tenang,” demikian seloroh Datuk Seri Najib Razak kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN).

Kata-kata sindiran yang dilihat menimbulkan jenaka oleh bekas Perdana Menteri itu ditulisnya di laman Facebook yang merujuk kepada surat terbuka Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa kepada Nurul Izzah Anwar semalam.

Malah Najib menyifatkan kata-kata Mujahid dalam surat itu tidak lebih seperti drama.

“Lepas baca warkah Cordova.

“Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda”.

“Drama. Dah berapa malam tak tidur? Kalau masih tidak boleh tidur, bacalah doa mohon kepada Allah untuk mudah tidur dan tenang,” tulisnya.

Hantaran tersebut menerima ‘like’ dariapda 23,000 pengguna Facebook dan dikongsikan 3,249 selain 4,000 komen sejak sejam yang lalu dimuatnaik.

Semalam Mujahid yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
melahirkan rasa gundah gulananya terhadap tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang melepaskan dua jawatan dalam PKR pada minggu lalu.

Mujahid yang kini berada di Cordova mengharapkan agar Nurul Izzah tidak berundur daripada perjuangan yang baharu dibina oleh Pakatan Harapan ketika ini.

Beliau menyifatkan Nurul Izzah sebagai puteri reformasi yang perlu memimpin generasi baharu dengan tertubuhnya Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan yang kini memerintah negara ini.

Dalam surat tersebut, Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut mengimbas perkenalannya dengan anak sulong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ketika beliau berada sepentas dalam satu siri ceramah era reformasi pada hujung tahun 90an.

Katanya, ketika itu Nurul Izzah masih mentah dalam politik dan berjuang membela nasib bapanya yang difitnah dan diaibkan.-MalaysiaGazette