KUALA LUMPUR – Sesi dialog di antara Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan penuntut Malaysia di London hangat apabila seorang lelaki (yang kemudiannya disebut namanya sebagai Ben Singh oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin) menggelar Presiden Pas itu sebagai rasis.

Bukan setakat itu, lelaki berkenaan juga mengeluarkan kata-kata kesat apabila ada dalam kalangan peserta dialog itu memintanya supaya bertenang.

Beliau juga menyifatkan pemikiran Abdul Hadi masih di bawah tempurung apabila Presiden Pas itu merujuk kepada insiden 13 Mei 1969 yang tercetus akibat ketegangan kaum ketika menyokong hujahnya bahawa Pas menentang pilihan raya kerajaan tempatan.

Biar pun dilemparkan dengan kata-kata kesat, Abdul Hadi tenang dan menjawab soalan yang dikemukakan iaitu Pas menolak cadangan DAP dan PKR untuk mengadakan pilihan raya tersebut kerana ia akan menyebabkan kawasan bandar dikuasai satu-satu kaum sahaja.

Katanya, apabila penduduk tertentu menguasai bandar, sudah tentulah bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Seremban, Johor Bahru semua dikuasai kaum Cina DAP.

“Mereka boleh buat apa sahaja, mereka boleh benarkan arak, benarkan judi,” kata Abdul Hadi.

Lelaki itu kemudian menyampuk dengan mengatakan perniagaan yang dijalankan kaum Cina menyumbang pendapatan dan cukai kepada kerajaan.

“Kita boleh benar, oleh sebab itu (pilihan raya PBT) mesti melibatkan pemandu teksi, melibatkan semua pihak yang menghidupkan bandar.

“Kalau satu kaum saja yang menguasai akan timbul 13 Mei balik, kita mengalami peristiwa berdarah 13 Mei,” kata Abdul Hadi lapor MalaysiaKini.

Jawapan Abdul Hadi mengenai peristiwa 13 Mei itu membangkitkan kemarahan individu berkenaan apabila dia terus meninggikan suara dan menyifatkan Presiden Pas itu dibelenggu oleh pemikiran yang jumud sambil menghina Islam.

Penulis blog Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan, individu yang kurang ajar menyerang dan memaki Hadi dan hadirin yang hadir adalah seorang ahli DAP yang dikenali dengan nama Ben Singh.

Menurut Raja Petra lagi, Ben Singh juga melakukan perkara yang sama kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika dia melawat London beberapa tahun lalu. – MalaysiaGazette