Seorang lelaki warga Indonesia cedera parah selepas kakinya tersepit pada mesin pengisar barang plastik kitar semula di sebuah kilang di Jalan Sungai Lalang, Semenyih di sini, hari ini. - foto hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Indonesia cedera parah selepas kakinya tersepit pada mesin pengisar barang plastik kitar semula di sebuah kilang di Jalan Sungai Lalang, Semenyih di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa Ignasius Igo, 30, dipercayai tergelincir ke dalam mesin pengisar itu menyebabkan kaki kanan hingga ke paha tersepit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Zainal Elias Abdul Aziz berkata mangsa terpaksa menahan kesakitan lebih empat jam sebelum kaki kanannya itu berjaya dikeluarkan pada kira-kira pukul 3.30 petang.

“Pihak bomba menggunakan peralatan khas menyelamat seperti ‘pemotong’ untuk memotong mesin bagi mengeluarkan kaki mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 11.40 pagi.

Mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

— BERNAMA