Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap semasa temubual khas di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Jika Wanita UMNO sinonim dengan gelaran tulang belakang parti itu, lain pula dengan pendirian Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, menyedari ahli wanitanya masih baharu, biarlah mereka hanya menjadi sayap kiri buat masa ini.

Malah beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengakui sayap itu kurang menyerlah dan penubuhannya agak lewat pada Mac tahun lalu.

“Dalam Bersatu, kita cuma ada sayap Srikandi dan Armada. Jadi sudah pasti kami, Srikandi dan Armada adalah sayap kiri dan kanan parti.

“Bagi saya kami masih baharu dan ahli-ahli Srikandi ini bukan semua pengalaman dalam politik dan memiliki pelbagai latar belakang.

“Ada yang kali pertama mengundi pada usia 40 tahun kerana semata-mata hendak menolak kerajaan kleptrokrasi yang lalu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

MGF13122018_TEMUBUAL RINA HARUN 02
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap semasa temubual khas di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 DISEMBER 2018

Beliau berkata demikian ketika ditemubual MalaysiaGazette menjelang Perhimpunan Agung Bersatu hujung minggu ini.

Seramai 600 pewakilan Srikandi dijangka hadir pada majlis perasmian sayap itu oleh presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat ini.

Mengulas lanjut, Rina tanpa segan silu mengakui terdapat ahli Srikandi tidak tahu langsung mengenai daerah mengundi dan isu politik.

“Ahli Srikandi terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan, suri rumah dan golongan professional yang ketika itu kami bersama-sama hanya hendak perjuang nasib rakyat untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 dan menentang kerajaan zalim.

“Jadi selepas ini Srikandi perlu fokus memberi latihan dari segi pengurusan dan pentadbiran kerana bukan semua tahu yang mahir tentang hal parti.

MGF13122018_TEMUBUAL RINA HARUN 09
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap semasa temubual khas di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 DISEMBER 2018

“Yang pasti tahun 2019, kita bukan sahaja telah mengatur pelbagai program tetapi kursus kepimpinan agar Srikandi boleh menjadi pemimpin akar umbi pada masa akan datang selain kempen menambah keahlian secara agresif,” katanya yang memberitahu Srikandi memiliki 70,000 ahli ketika ini menerusi 103 bahagian.

Sementara itu, seramai 1,600 perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghadiri Perhimpunan Agung kali kedua parti itu yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini.

Jumlah itu melibatkan sebanyak 135 bahagian di seluruh negara dengan 99 bahagian melibatkan sayap Srikandi manakala 115 pula adalah sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Perhimpunan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu juga akan disertai oleh mahasiswa tempatan serta dari luar negara. – MalaysiaGazette