Universiti Malaya

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menjelaskan tiada individu bernama Prof. Madya Dr. Farishal Abdul Kadir berkhidmat atau dilantik untuk mengendalikan perolehan atau tender oleh universiti tersebut.

“Pihak UM dengan ini menegaskan bahawa tiada penama di atas berkhidmat di UM dan kami juga tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau individu sebagai orang tengah (proxy) untuk sebarang projek perolehan/tender UM,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas UM menerima aduan daripada beberapa syarikat/kontraktor mengenai Dokumen Perolehan/Tender yang didakwa telah dikeluarkan atau ditawarkan oleh UM berkaitan beberapa projek menaik taraf kemudahan dan pembinaan bangunan di UM.

Dokumen tersebut telah menggunakan kepala surat (letterhead) UM serta ditandatangan oleh seorang penama “Prof. Madya Dr. Farishal Abdul Kadir”.

UM berkata, sekiranya mana-mana pihak ada menerima apa-apa dokumen perolehan/tender bagi apa-apa projek khususnya projek pembangunan dan naik taraf di UM dan khususnya jika dokumen tersebut di tandatangan oleh penama seperti di atas meteka diminta membuat semakan lanjut kepada [email protected].

Katanya, UM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak sekiranya mereka didapati menggunakan nama dan logo UM tanpa kebenaran dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang.

Malah, UM juga menasihatkan mana-mana pihak atau individu yang menjadi mangsa penipuan seperti ini segera membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette