Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam sewajibnya berperanan sebagai sebuah dewan pemikiran dan pentabdiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan langsung Yang di-Pertuan Agong, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.

Baginda bertitah, Majlis Agama Islam juga perlu berperanan sebagai jambatan penghubung antara umat Islam dengan raja pemerintah, antara umat Islam dengan kerajaan pilihan rakyat dan antara umat Islam dengan warga bukan Islam.

“Peranan Majlis (Majlis Agama Islam) wajib diluaskan, dimerdekakan daripada minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris. Peranan majlis hendaklah ditakrif secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran dan tenaga pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik.

“Walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara, selagi tindak tanduk majlis tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, negara hendaklah mengiktiraf majlis sebagai sebuah institusi yang berperanan penting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak bertitah, kesetiaan anggota-anggota Majlis Agama Islam yang telah diperkenankan lantikan adalah kepada Yang di-Pertuan Agong dan titah perkenan baginda wajib diperoleh sebelum sesuatu dasar, arahan dan kegiatan mengenai Islam mahu dilaksanakan.

Baginda bertitah, semua anggota Majlis Agama Islam perlu melakukan perekayasaan, membawa minda keluar, merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif demi kemuliaan sinar Islam dan membela martabat umat Islam.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin turut meminta Majlis Agama Islam supaya mengambil tanggungjawab sebagai instrumen penyatuan ummah dan bebas daripada sebarang agenda politik kepartian supaya peranan agensi itu dilihat neutral dan dapat diterima tanpa prejudis serta prasangka oleh umat Islam.

“Dalam suasana umat Islam kelihatan berterusan berselisih pendirian, dan dalam senario ukhuwah sesama umat Islam terbayang semakin retak, majlis hendaklah mengambil tanggungjawab sebagai instrumen penyatuan ummah; bebas daripada sebarang agenda politik kepartian, yang dianggap berpihak dan berat sebelah,” titah baginda.

Terdahulu, baginda turut berkenan mengurniakan watikah kepada 14 anggota Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan 25 orang hakim dan pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang. – Bernama