Kelihatan dua orang pelanggan menikmati hidangan Kentucky Fried Chicken (KFC) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette .Restoran rangkaian makanan segera memaklumkan kenaikan harga hidangan yang disediakan di KFC baru-baru ini. foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Setelah QSR Brands (M) Holdings Bhd, pemilik restoran makanan segera KFC berkata penyelarasan harga produk jualannya telah disalah tafsir, hari ini bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tampil mendakwa harga penghantaran atau delivery makanan segera itu pula didapati naik.

Dalam satu hantaran di Twitter, Rafizi berkata, sejak semalam kenaikan harga itu oalah RM4

“Saya check menu delivery KFC memang naik harga ~RM4.

“Nanti saya tulis surat kpd KFC pulak. Kerja tulis surat je lah aku.

“Saya penyokong tegar KFC, tidak pernah bertukar walau ada parti ayam lain di Malaysia ini,” katanya di Twitter beliau.

Semalam, QSR Brands berkata, penyelarasan harga berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan kerajaan.

Namun MalaysiaGazette mendapati kenyataan itu langsung berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Syarikat itu sebelum ini berkata, senarai harga produk mereka adalah termasuk enam peratus SST sejak Disember 2018.

IMG_20181228_091725 Pengguna media sosial di Twitter turut merungut ekoran kenaikan itu.

@gulaaamasinnn berkata “petang tadi order KFC sebab teringin nak makan plus lapar.

“Harga KFC delivery pun dah naik. sebulan yang lepas rasanya Delivery Fee RM3. menu dia pun harga naik,” komen beliau.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilapor akan membuat pemeriksaan terhadap KFC selepas dakwaan tular mendakwa harga makanannya naik.

Pemeriksaan itu dilaporkan telah bermula semalam.

Malah, satu lagi rangkaian restoran makanan segera McDonalds akan turut disiasat selepas terdapat laporan bahawa harga makanan segera di restoran itu turut dilaporkan naik.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman. – MalaysiaGazette