Bersatu
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun bercakap ketika sesi sidang media pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mensasarkan keahlian sayap itu sekurang-kurangnya 200,000 orang menjelang penghujung tahun depan.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, setakat ini pelbagai gerak kerja dilakukan bagi menambah keahlian sayap parti itu.

Malah katanya, sayap itu yakin mampu mencapai jumlah tersebut berdasarkan komitmen dan gerak kerja yang telah dilakukan.

“Buat masa ini, Srikandi hanya memiliki 70,000 ahli sejak penubuhannya pada 5 April 2017 dan untuk mendapat ahli, kena ada kepercayaan dan yakin dengan perjuangan kita.

“Berdasarkan gerak kerja yang dilakukan terutama selepas kita menjadi kerajaan, kita menyasarkan keahlian Srikandi bakal bertambah sehingga 200,000 orang menjelang hujung tahun depan,” katanya.

Rina berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Srikandi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Rina ketika menyampaikan ucapan dasar Srikandi mengimbau pahit getir perjuangan sayap itu sebelum Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, selepas penubuhan Srikandi pada 5 April 2017, ahli parti itu menjelajah ke seluruh negara untuk menambah keahlian di peringkat bahagian dan berdepan pelbagai cabaran untuk menarik sokongan.

“Kita terjah buat program keahlian bukan di satu kampung dan flat saja, tapi di seluruh negara. Ada banyak ugutan yang kita terima tapi kita tetap cekal meneruskan misi demi perjuangan.

“Kita tidak putus asa walaupun ketika kita mencari keahlian Srikandi, ramai yang menjadi ahli adalah lelaki. Kita dapat 1,000 ahli tapi 60 peratus adalah lelaki.

“Itu tidak jadikan kita putus asa. Bila berjumpa wanita, mereka kata kalau mereka masuk Bersatu, banyak kebajikan mereka akan dipotong, kerana sifat wanita itu melindungi dan mereka perlu melindungi keluarga mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast