Gambar hiasan.

IPOH – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai wakil yang menjual papan tanda larangan merokok di semua restoran dan premis makanan susulan penguatkuasaan larangan tersebut mulai 1 Jan depan.

Timbalan menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mendakwa sebagai wakil kementerian dengan menjual papan tanda tersebut sekiranya menerima laporan.

“Kementerian mendapat laporan ada pihak yang menjual papan tanda itu dengan harga RM10,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong membanteras wabak denggi anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

Dr Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata pemilik restoran atau premis makanan boleh membeli atau membuat papan tanda sendiri mengikut spesifikasi yang ditetapkan iaitu panjang 40 sentimer (cm) dan 50 cm.

“Tetapi sekiranya papan tanda itu lebih kecil (daripada spesifikasi), ia tidak menjadi masalah asalkan ia dipamerkan,” katanya.

Dr Lee berkata, papan tanda itu tidak perlu mempunyai logo kementerian dan boleh menggunakan lebih daripada satu bahasa selain bahasa Malaysia tetapi ia mesti mempunyai logo larangan merokok.

Katanya, setiap restoran dan premis makanan hanya perlu mempamerkan satu papan tanda sahaja di kawasan yang boleh dilihat oleh pelanggan dan kegagalan berbuat demikian boleh didenda maksimum RM3,000.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata, setiap tahun dianggarkan seramai 20,000 orang maut disebabkan penyakit akibat rokok dan membabitkan kos rawatan sejumlah RM7.4 bilion sepanjang tahun. – MalaysiaGazette