Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad yakin ‘kemasukan’ bekas-bekasĀ  pemimpin UMNO tidak akan dapat menyemai budaya lapuk dalam parti itu.

Menurut beliau, kemasukan bekas-bekas pemimpin UMNO akan bersyarat dan tidak memungkinkan golongan itu untuk mengambil alih parti.

“Bukan senang nak masuk dan kononnya ambil ahli dan menyemai budaya mereka, mereka boleh cuba tetapi saya yakin mereka yang kita terima telah sedar akan kesilapan mereka dan musnahkan parti mereka,” katanya yang juga Perdana Menteri semasa ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-2 petang tadi.

UlasĀ  Mahahtir, tujuan utama parti itu menerima bekas pemimpin UMNO yang dirasai perlu adalah bagi menambah keahlian parti selain mengukuhkan parti di peringkat akar umbi.

“Mereka berpecah berkeping-keping dan cuba cari cara hidup yang baru. Walaupun ada yang mereka tercemar dan kotor tetapi ada yang baik untuk menambah keahlian kita.

“(Kemasukan mereka) bukan digunakan untuk mengancam parti kawan kita dalam PH tetapi amat pentingnya bagi kita mendapat ahli yang ramai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mahathir turut mengingatkan ahli Bersatu supaya menjaga parti dan tidak menerima nasib sepertimana yang berlaku kepada UMNO.

Katanya, jika ahli parti yang didapati menyeleweng daripada matlamat asal, maka tidak mustahil parti yang berusia duta tahun itu akan menerima nasib sama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

“Kalau parti kita menang, sedikit sebanyak kita dapat nikmat dan kalau parti kita hancur, walaupun berjawatan tinggi yang kita pegang, ia tidak ada makna lagi kerana parti hancur,” jelas beliau. -MalaysiaGazette