Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali melambaikan tangan kepada para media selepas pada Majlis Amanat dan Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA- Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang bersara hari ini akan mengetuai Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) sebagai ketua eksekutif bermula 2 Januari ini.

Menurut Mustafar, beliau telah menerima secara rasmi surat perlantikan tersebut daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).

“Perdana Menteri telah memberi amanah kepada saya untuk melanjutkan tugas dalam perkhidmatan awam.

“Saya akan memulakan tugas pada Rabu ini dan barang-barang telah pun dipindahkan ke pejabat sana,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Imigresen Malaysia dan Istiadat Paluan Berundur di sini hari ini.

NFCC adalah sebuah agensi baharu ditubuhkan kerajaan dalam usaha untuk mengekang aktiviti penggubahan wang haram.

Mustafar yang enggan mengulas secara terperinci mengenai tugasan baharunya itu berharap supaya dapat meneruskan kecemerlangan seperti yang telah dilakukan semasa berada di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Institut Integriti Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kita mahu proaktif dan saya sudah bersiap-siaga (menghadapi tugas baharu),” katanya lagi.

Tambah Mustafar, sementara menantikan perlantikan Ketua pengarah yang baharu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Abd. Halim Abd. Rahman akan bertindak sebagai pemangku. – MalaysiaGazette