Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Jangan mengharapkan kejayaan UMNO datang secara pantas, sebaliknya pembangunan semula parti akan mengambil masa.

Justeru kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semua ahli parti perlu bersedia bersama-sama melalui cabaran dinamik politik demi mengukuhkan semula parti itu.

“Sejujurnya, tiada rumus yang mudah dan tepat yang boleh diambil untuk terus digunakan. Lebih-lebih lagi dinamik politik Malaysia dan global sangat deras berubah.

“Justeru saya meminta semua ahli UMNO, rakan dan taulan UMNO, untuk bersedia melalui jalan yang sukar dan berliku ini bersama-sama. Biar apa pun yang menanti di hadapan, kita akan tempuh dan lalui bersama dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

“Cuma, janganlah sesekali mengharapkan kejayaan pantas. Tetapi yakinlah bahawa sabar dan tabah itu jodohnya bahagia,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook hari ini.

Kenyataan itu adalah kenyataan pertama selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi umum menyerahkan tugas sebagai Presiden kepada Mohamad.

Tambah Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat, UMNO juga perlu mencari kelaziman baharu (a new normal), keluar daripada rutin biasa seperti slogan kosong dan menjulang retorik.

“Yang kedua, dalam membangunkan semula UMNO sebagai parti berwibawa dan diyakini, kita mesti mencari kelaziman baharu atau ‘a new normal’. Maka sikap dan landasan pemikiran kita juga harus disesuaikan untuk memanfaatkan peranan baru UMNO,” tambahnya.

Beliau dalam masa yang sama menggariskan 5 iltizam UMNO yang bakal diusahakannya sebagai pemangku Presiden parti itu.

Pertama adalah UMNO akan membina dan menyuburkan sistem demokrasi Malaysia melalui kepimpinan yang berprinsip sebagai pembangkang.

“Kita tidak akan merunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak, atau hijack keputusan PRU-14 dengan kembali membanjiri dan menyibuk dalam pasukan kerajaan. Iltizam baru bagi UMNO adalah untuk menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem dwiparti dan politik berprinsip. Rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan baru tidak akan dikhianati oleh UMNO,” katanya.

Kedua pembangunan wibawa UMNO sebagai parti pembangkang yang terhormat dan disegani.

“Selama empat setengah tahun yang berbaki ini, UMNO akan menjadi wadah semak dan imbang yang tegas dan benar-benar efektif.

UMNO akan memberikan alternatif yang baik kepada segala yang dijanjikan oleh pihak kerajaan, dan terus menyuarakan pendapat dan menyatakan sebarang kelemahan yang didapati,” katanya.

Ketiga parti itu akan memerangi politik. Mohamad berkata, parti itu perlu bersih daripada rasuah.

Justeru sesiapa yang tidak boleh bersama-samanya memperjuangkan prinsip itu dipersilakan untuk berpindah parti.

“UMNO yang baru hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan UMNOm” ujarny.

Keempat menjadikan idea sebagai modal politik UMNO akan membenarkan berlakunya perubahan generasi atau generational change yang sangat diperlukan oleh parti ini.

Terakhir beliau beriltizam untuk menyemak kembali agenda Melayu.

“Memperjuangkan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara. Sudah tiba masa agenda Melayu UMNO disemak. Ia mesti direkayasa dan diberikan lonjakan baru,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bagus bila kamu Mat Hasan berpegang dgn realiti tersebut.

    Bagitu juga bagi PH, realiti nya, “bukan jalan mudah utk membangunkan Negara yg ketika ini dlm keadaan kewangan yg teruk” di tinggalkan oleh UMNO.

    Faham? Faham! Faham.

Comments are closed.