Pasangan suami isteri bimbang dengan nasib anak perempuan bongsu mereka berusia 16 tahun yang dipercayai dilarikan individu tidak dikenali pada 12 Dis lalu, dan didakwa disembunyikan seseorang di Selatan Thailand.
Pasangan suami isteri bimbang dengan nasib anak perempuan bongsu mereka berusia 16 tahun yang dipercayai dilarikan individu tidak dikenali pada 12 Dis lalu, dan didakwa disembunyikan seseorang di Selatan Thailand. - foto hiasan

KOTA BHARU – Pasangan suami isteri bimbang dengan nasib anak perempuan bongsu mereka berusia 16 tahun yang dipercayai dilarikan individu tidak dikenali pada 12 Dis lalu, dan didakwa disembunyikan seseorang di Selatan Thailand.

Bapa remaja berkenaan, Razali Husain, 47, berkata beliau membuat laporan polis mengenai kehilangan anak gadisnya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 13 Dis dan sehingga kini tidak tahu apa nasibnya.

Beliau berkata anak perempuannya sebelum itu baru tiga hari bekerja sambilan di sebuah kafe di Padang Tembak dekat Pengkalan Chepa.

“Sebelum hilang, anak gadis saya ada memberitahu dia pernah diganggu seorang lelaki bermotosikal sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita di Kampung Bechah, Tanjung Chat di sini, hari ini.

Razali berkata kehilangan anak bongsunya itu menyebabkan kesihatan isterinya, Zawiah Yaacob, 45, yang menghidap penyakit buah pinggang semakin merosot.

Katanya dia semakin yakin anak gadisnya itu berada di negara jiran selepas ada rakan mendakwa melihat kelibat anaknya di pekan Sungai Golok, Selatan Thailand.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

— BERNAMA