Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri telah membenarkan projek Melaka Gateway diteruskan setelah projek itu dipastikan diselia oleh syarikat tempatan dan memberi manfaat kepada rakyat terutamanya daripada segi peluang pekerjaan.
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri telah membenarkan projek Melaka Gateway diteruskan setelah projek itu dipastikan diselia oleh syarikat tempatan dan memberi manfaat kepada rakyat terutamanya daripada segi peluang pekerjaan.

MELAKA – Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri telah membenarkan projek Melaka Gateway diteruskan setelah projek itu dipastikan diselia oleh syarikat tempatan dan memberi manfaat kepada rakyat terutamanya daripada segi peluang pekerjaan.

Beliau berkata telah menjadi polisi kerajaan negeri untuk tidak mengganggu projek pelaburan langsung asing (FDI) selagi ia diselia syarikat tempatan dan memberi pelbagai peluang ekonomi kepada rakyat.

Menurut Adly, kerajaan negeri tidak mempunyai apa-apa masalah dengan pelaburan dari China kerana polisi pelaburan kerajaan negeri bersifat terbuka, namun model perniagaan daripada pelaburan itu perlu diurus dengan baik supaya ia memberi manafaat kepada rakyat.

“(Melaka Gateway) sekarang kita bagi peluang kepada mereka untuk teruskan pelaburan mereka dengan Power China, itu dengan siapa mereka mahu berurusan, dari segi pihak kita bagi pandangan jelas selagi projek itu di bawah seliaan tempatan tiada gangguan polisi kita masih kekal.

“Tentang pelaburan asing ini, projek itu (Melaka Gateway) masih berjalan sekarang, isunya pelabuhan dan terminal feri, untuk FDI ada pandangan jelas pelaburan industri itu, mereka boleh datang ke kawasan industri kita.

“Cuma pelaburan asing itu mesti memberikan peluang kepada orang tempatan, itu yang diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke produk pelancongan di Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kritikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman Facebooknya semalam yang sekali lagi menyatakan rasa ‘pelik’ apabila Adly dipetik sebagai berkata projek pelabuhan Melaka Gateway dan pelabuhan Kuala Linggi amat penting untuk pembangunan negeri, yang mana ‘dakwaan kitar semula itu’ telahpun dibuat Najib pada pada 6 Ogos tahun lepas dan dijawab Adly kira-kira seminggu kemudiannya.

Najib juga pelik projek yang dibuat semasa beliau menjadi perdana menteri dilabel sebagai ‘jual negara’ tetapi apabila dilaksana sekarang, ia menjadi projek penting yang boleh membawa Melaka kembali ke zaman kegemilangan Kesultanan Melaka walaupun projek itu tidak mengalami apa-apa perubahan dari segi skop projek atau pemegang saham.

ARTIKEL BERKAITAN: Melaka Gateway dulu didakwa jual negara sekarang jadi pembangunan penting

Adly pada 14 Ogos telahpun menjawab dakwaan Najib itu dengan menegaskan bahawa pelbagai penambahbaikan telah dilakukan terhadap projek tersebut untuk memastikan ia menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini, terdapat rancangan tanah di Melaka Gateway dipajak kepada syarikat asing, yang mana ia merupakan antara isu yang menjadi kebimbangan kepada Pakatan Harapan dan rakyat secara amnya.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial bercampur seluas 246.4 hektar bernilai RM43 billion terdiri daripada tiga pulau baharu yang dijangka siap pada 2025.

Dalam pada itu, Adly berkata selain Melaka Gateway sebuah lagi pelaburan daripada syarikat China iaitu Xinyi Glass di Elkay Industrial Park Lipat Kajang, Jasin, dekat sini, yang mengeluarkan ‘float glass’ dan ‘solar glass’ telah membuka peluang pekerjaan kepada 350 pekerja tempatan.

— BERNAMA