Facebook Jane yang menceritakan penemuan cicak dalam snek Fish Skin.

SINGAPURA – Syarikat pengeluar Irvins Salted Egg menawarkan beberapa snek popularnya selepas seorang pengguna di Bangkok menemui seekor cicak mati dalam salutan telur masin dalam paket makanan tersebut.

Irvins Salted Egg mempunyai 13 cawangan di Singapura, Hong Kong dan Filipina – mengeluarkan semua produknya di Singapura.

Tawaran itu dibuat selepas seorang pembeli, Jane Holloway, 38, yang menetap di Bangkok berkongsi cerita di Facebook yang ibu dan abangnya telah makan separuh daripada ‘Fish Skin’ sebelum menemui reptilia tersebut.

Menyifatkan ia sangat menjijikkan, Jane berkata: “Bagaimana ini boleh berlaku? Cicak ini telah digoreng dengan kulit salmon. Eeeewww!”.

Bercakap kepada Straits Times, Jane berkata, dia membeli produk itu di Bangkok pada awal November lalu daripada sebuah pasar raya antarabangsa, Villa Market di K Village di Khlong Toei.

Ibunya telah membuka paket makanan itu minggu lalu dan makan bersama abangnya.

Jane memberitahu, abangnya yang menyedari cicak tersebut, yang pada awalnya disangkakan kepala anak ikan salmon.

Sementara itu, pengasas Irvins Salted Egg, Irvin Gunawan berkata, syarikat itu terkejut dengan insiden tersebut.

“Kami benar-benar ingin meminta maaf kepada pelanggan dan semua pihak yang terjejas oleh kejadian ini secara langsung atau tidak langsung. Kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap barang-barang yang kami jual dan segala yang ada di dalamnya,” katanya.

Beliau menambah, kawalan kualiti adalah salah satu aspek yang paling penting dalam syarikat itu dan memaklumkan telah menghubungi Jane secara peribadi.

Kes itu telah dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Agri-Makanan dan Veterinar (AVA) dan syarikat itu akan bekerjasama sepenuhnya dalam penyiasatannya, katanya..

Irwin juga telah menawarkan untuk pembayaran bil jika insiden itu Jane dan keluarganya mengalami kesakitan. – MalaysiaGazette