Foto hiasan

SHAH ALAM – Seorang pekerja restoran nasi kandar di Seksyen 25 di sini ditampar pelanggan yang tidak berpuas hati selepas ditegur agar tidak menghisap rokok di dalam kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata dalam kejadian pada Selasa lepas pada kira-kira 12.30 tengah hari, pekerja warga India berusia 25 tahun berkenaan bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Tambah Baharudin, menurut laporan yang dibuat oleh pemilik restoran itu, pekerjanya ada memberi teguran kepada tiga pelanggan lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an yang sedang menghisap rokok di dalam restoran.

“Teguran diberi secara baik tetapi seorang daripada pelanggan berkenaan terus menampar sekali di muka pekerjanya itu dan kemudian mereka terus beredar dari restoran setelah membuat bayaran. Terdapat dua pekerja dan lima pelanggan lain di kedai berkenaan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Baharudin kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan suspek yang melakukan perbuatan berkenaan diminta tampil memberi keterangan secara sukarela di balai polis berhampiran.

Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa 1 Jan 2019.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500.

— BERNAMA