Solskjaer tidak mahu meninggalkan Old Trafford pada Mei ini dan mahu kekal lebih lama dan tetap di Old Trafford.

ENGLAND – Ole Gunnar Solskjaer tidak sanggup melepaskan tugas kejurulatihannya dan meninggalkan Old Trafford pada akhir musim ini.

Pengurus sementara Manchester United itu berkata, beliau berhasrat untuk kekal lebih lama di Theatre of Dreams dan mengembalikan era kegemilangan kelab itu.

Legenda the Red Devils itu dinamakan sebagai pengurus sementara menggantikan Jose Mourinho yang dipecat Manchester United pada 17 Disember lalu.

Dalam aksi Liga Perdana Inggeris bertemu Newcastle United awal pagi tadi, skuad kendalian Solskjaer yang bertandang ke Stadium St James Park menang selesa 2-0.

Keputusan itu menyaksikan Solskjaer merupakan pengurus kedua dalam sejarah kelab menang empat perlawanan pertama selepas Sir Matt Busby pada tahun 1946.

Busby telah memenangi lima perlawanan pertama berturut-turut pada 1945, 1969 dan 1970-71.

Menurut Solskjaer, ia akan menjadi lipatan sejarah sambil menegaskan fokus beliau hanya tertumpu kepada aksi seterusnya yang perlu dihadapi skuad the Red Devils nanti.

Dalam aksi awal pagi tadi, Manchester United terikat seri tanpa jaringan di babak pertama.

Pada babak kedua Romelu Lukaku dan Marcus Rashford berjaya memecahkan kubu pertahanan tuan rumah untuk mengesahkan tiga mata penting itu.

Andai kata Solskjaer menang kesemua aksi yang dihadapi musim ini, Man United seharusnya mengekalkan pengurus itu menerusi kontrak pengurus tetap.

Ditanya sama ada beliau akan meninggalkan kelab pada Mei ini, Solskjaer menjawab secara ringkas:” Saya tidak mahu (tinggalkan kelab).

‘Kelab ini memiliki pemain terbaik dan atmosfera hebat, saya mahu bertugas terbaik selama mungkin di sini.”

Legenda berusia 45 tahun itu dilantik menggantikan Jose selepas menerima kebenaran kelab sweden Molde yang menjangkakan Solskjaer akan kembali semula selepas tempoh perkhidmatan sementara sehingga Mei ini tamat kelak.- MalaysiaGazette