Raja Azmi
Raja Azmi Raja Nazudin

KUALA LUMPUR- Raja Azmi Raja Nazuddin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Bhd. (MAHB) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa serta-merta.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pelantikan tersebut dibuat selepas menerima kelulusan Perdana Menteri.

Raja Azmi sebelum ini adalah Ketua Pegawai Kewangan MAHB sejak Februari 2016 sebelum dilantik memangku jawatan CEO syarikat tersebut menggantikan kekosong yang ditinggalkan oleh Datuk Badlisham Ghazali pada 23 Jun 2018.

Beliau pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan seterusnya Pengarah Eksekutif UDA Holdings Berhad.

Sebelum itu beliau berpengalaman sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif di Zelan Berhad, Pengarah Kewangan Kumpulan UEM Group Berhad, dan Pengarah Eksekutif di Time Engineering Berhad.

Raja Azmi juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan Tronoh Consolidated Malaysia Berhad dan Pegawai Kewangan Kumpulan Sapura Telecommunications Berhad.

Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pentadbiran perniagaan dan perakaunan serta mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Bath, United Kingdom.

“Pelantikan beliau adalah bertepatan dan seiring dengan keperluan syarikat pada masa ini yang mengalami peningkatan ketara dalam jumlah pengguna lapangan terbang di Malaysia.

Pelantikan ini juga adalah selaras dengan aspirasi MAHB untuk menjadikan lapangan-lapangan terbang negara sebagai pilihan syarikat penerbangan dan pelancong di rantau ini dalam suasana persaingan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette