Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang makluman daripada pihak istana berhubung peletakkan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, Sultan Muhammad V akan kembali bertugas seperti biasa dan apa yang tersebar di laman sosial hanyalah khabar angin semata-mata.

“Saya benci khabar angin. Saya belum menerima sebarang surat atau makluman tentang apa-apa (letak jawatan).

“Saya tidak akan bercakap tentang khabar angin. Seperti mana saya tahu (Sultan Muhammad V akan kembali bertugas),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Beliau mengulas khabar angin di laman sosial sejak dua hari lalu bahawa Sultan Muhammad V didakwa akan melepaskan jawatannya sebagai YDP Agong sebaik sahaja pulang daripada bercuti.

Spekulasi itu semakin kuat apabila Majlis Raja-Raja telah bermesyuarat secara tidak rasmi malam semalam selepas tamatnya tugas Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai pemangku YDP Agong.

Khabar angin yang tular di laman sosial Facebook itu mendakwa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan mengisi kekosongan itu.

Sultan Muhammad V bercuti sejak dua bulan lalu hingga 31 Disember 2018 bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Media luar negara sebelum ini melaporkan baginda pada 22 November lalu telah berkahwin dengan bekas ratu cantik Rusia Oksana Voevodina di Moscow.

Bagaimanapun sehingga hari ini, pihak istana masih belum membuat sebarang penjelasan mengenainya – MalaysiaGazette