Datuk Rosyam Nor
Pelakon, Datuk Rosyam Nor bercakap pada sidang media berkenaan Pasaraya ST Rosyam Mart Sdn. Bhd. di Pejabat ST Rosyam Mart, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JANUARI 2019

KUALA LUMPURĀ – Pelakon, pengarah dan usahawan Rosyam Nor menegaskan beliau bukan duta kepada pasaraya ST Rosyam Mart seperti mana yang tular di laman media sosial sejak Rabu lalu.

Sebaliknya Rosyam berkata, beliau sebenarnya adalah salah seorang daripada pemegang kepentingan dalam perniagaan peruncitan itu dengan pemilikan 10 peratus saham.

Sehubungan itu, dakwaan yang mengatakan selebriti itu sebagai duta adalah tidak benar.

“(Jadi) Duta itu tidak benar kerana saya pemegang saham sebanyak 10 peratus dalam ST Rosyam Mart dan orang mula mempertikaikan dengan mengatakan saya digunakan oleh Datuk Raymond dan Seri Ternak Group untuk menggunakan nama Rosyam Nor.

“Ini adalah perniagaan dan semua orang dah nampak dalam SSM saya bukan duta, saya mempunyai 10 peratus (saham) dan ini sebagai permulaan kerana modal keseluruhan untuk membuka ST Rosyam Mart sebanyak RM20 juta.

“Saya berlakon sudah 36 tahun, untuk mengeluarkan 50 peratus modal, saya memerlukan RM10 juta, di mana saya nak mendapat duit sebanyak itu?

“Alhamdulillah dengan kepercayaan Datuk Raymond Ho dan Wah Ah Chai memberi peluang kepada saya dan ia terbuka jika selepas ini saya ada modal yang lebih, saya akan membeli saham saya sedikit demi sedikit,” katanya pada sidang media di pejabat urusan ST Rosyam Mart di Taman Setiawangsa, di sini, hari ini.

Datuk Rosyam Nor
Pelakon, Datuk Rosyam Nor bercakap pada sidang media berkenaan Pasaraya ST Rosyam Mart Sdn. Bhd. di Pejabat ST Rosyam Mart, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JANUARI 2019

Sebelum ini, tular di laman media sosial mendakwa Rosyam menjadi duta kepada Syarikat Kumpulan Seri Ternak sehingga tertubuhkan pasaraya ST Rosyam Mart.

Dakwaan yang menggunakan akaun Facebook palsu itu juga mendakwa selebriti berusia 51 tahun itu dipergunakan oleh usahawan Cina dengan menggunakan namanya untuk menarik pelanggan khususnya orang Melayu Islam.

Rosyam juga berkata, Raymond dan adiknya, Ho Cheng Yek merupakan rakan kongsinya dalam ST Rosyam Mart, masing-masing 89 peratus dan satu peratus.

MGF05012019_PC ROSYAM NOR_06
Pelakon, Datuk Rosyam Nor bercakap pada sidang media berkenaan Pasaraya ST Rosyam Mart Sdn. Bhd. sambil ditemani Pengerusi Sri Ternak, Ho Ah Chai (kiri) di Pejabat ST Rosyam Mart, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JANUARI 2019

Beliau juga menafikan dakwaan mengatakan beliau mempunyai pegangan saham dalam Syarikat Kumpulan Seri Ternak susulan nama pasaraya itu diletakkan dengan singkatan ST.

“Saya tidak terlibat secara rakan kongsi dalam Syarikat Kumpulan Seri Ternak, tapi saya hanya terbabit dalam ST Rosyam Mart sebagai pemegang saham sahaja.

“Syarikat Kumpulan Seri Ternak sebenar sudah 70 tahun,(diwarisi Wah Ah Chai) daripada emak dalam perniagaan ini (peruncitan),” katanya.

Katanya lagi, penglibatannya sebagai pemegang saham ST Rosyam Mart sebenarnya adalah peluang kepada orang Melayu dalam bidang peruncitan yang sejak puluhan tahun dikuasai oleh kaum Cina.

“Kalau bercakap soal isu 10 peratus saham dalam syarikat ST Rosyam Mart, semua orang tahu seorang pelakon di Malaysia tidak mempunyai ekonomi begitu besar, kalau berlakon di Hollywood lainlah, banyak duit.

“Tapi peluang yang diberikan selama dua tahun berturut-turut oleh Syarikat Kumpulan Seri Ternak akhirnya mereka memberikan kepercayaan kepada saya untuk menubuhkan gabungan ST Rosyam Mart.

“Saya rasa setelah 60 tahun negara kita merdeka, saya rasa inilah peluang pertama anak Melayu diberi peluang untuk sama-sama dengan rakan daripada bangsa Cina yang memegang bidang perniagaan.

“Saya harap masyarakat di luar sana berbangga dengan keupayaan dan pencapaian saya dan boleh menjadikan ia sebagai satu inspirasi untuk mereka bergerak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette