Anthony Loke
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu bahawa kerajaan belum membuat keputusan untuk menyambung semula projek Landasan Kereta Api Rel Timur (ECRL).

“Kerajaan belum membuat keputusan dan kami tidak tahu jikalau pihak kontraktor telah menyambung tugas,” katanya kepada China Press untuk mengulas laporan bahawa kontraktor utama ECRL, China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) telah memanggil semula pekerjanya untuk bertugas.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini memberitahu bahawa ECRL mungkin akan diteruskan, tetapi dengan skala lebih kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja pejabat ECRL dipanggil bertugas semula
ARTIKEL BERKATAN: Projek ECRL mungkin diteruskan tetapi dalam skala kecil- PM

Sementara itu, Sinchew Daily yang memetik sumber Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. juga melaporkan bahawa projek ECRL masih dalam keadaan ‘beku’.

Kata sumber, kemungkinan projek ECRL bersambung semula bergantung kepada kesudian CCCC untuk menurunkan kos pembinaan.

Rundingan dengan CCCC pula dijalankan sepenuhnya melalui Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Menurut sumber, jika projek ECRL disambung, beberapa aspek membabitkan pengurangan jumlah perhentian, bilangan terowong dan kekerapan perkhidmatan perlu diselidiki.

Kata sumber, landasan berkembar juga boleh ditukarkan kepada landasan tunggal, sekali gus mengurangkan kos secara signifikan.

CCCC pula menjelaskan kepada China Press bahawa pihaknya belum menerima makluman mengenai penyambungan projek ECRL.

“Kami berusaha untuk mencapai persefahaman dengan kerajaan Malaysia. Projek ECRL pada masa ini masih dalam status berhenti kerja,” kata seorang pengurus besar CCCC. – malaysiagazette