Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuju ke Dewan Rakyat pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2018 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa hari ini.

Peletakan jawatan itu diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz dalam satu kenyataan media oleh Istana Negara petang ini.

“Baginda telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat,” demikian menurut Wan Ahmad Dahlan.

Dalam pada itu, baginda turut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kerjasama mentadbir negara dan berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bermula 13 Disember 2016.

“Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara. Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada Bbginda dan negara selama ini,” kata kenyataan dua muka surat itu.

Sultan Muhammad V dilantik memegang jawatan itu pada 13 Disember 2016 dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Muhammad sebelum ini beristirehat menjalani rawatan bermula 2 November sehingga 31 Disember tahun lalu dengan tugas Yang di-Pertuan Agong dipangku timbalan baginda, Sultan Nazrin.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyifatkan cakap-cakap mengenai peletakan jawatan baginda sebagai khabar angin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Muhammad V letak jawatan cuma khabar angin – Tun M

ARTIKEL BERKAITAN: TERKINI : “Sultan Muhammad V Letak Jawatan Cuma Khabar Angin” – Tun M