Anggota Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa, yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.
Yamani Hafez Musa

KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa, yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.

Majlis angkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof di dalam Kamar Khas bangunan Parlimen.

Yamani Hafez merupakan Anggota Parlimen ke-222 dan terakhir mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat selepas lebih lapan bulan tidak kelihatan sebaik saja tamat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Sebelum ini, beliau telah diberikan surat peringatan untuk tampil mengangkat sumpah segera atau berdepan hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen jika gagal berbuat demikian selepas tempoh ditetapkan pada 15 Jan.

Sementara itu, dalam ucapan pemasyhuran beliau sebagai Anggota Parlimen, Mohd Ariff mengucapkan sekalung tahniah dan berharap Yamani Hafez melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat kepada negara.

Wartawan dan jurukamera media yang hadir membuat liputan, bagaimanapun dihalang oleh petugas Parlimen untuk mendapatkan reaksi Anggota Parlimen Sipitang itu dan mereka diarahkan beredar dari kawasan pekarangan Kamar Khas berkenaan.

— BERNAMA