Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mendapatkan pasport antarabangsanya dari mahkamah bagi mendapatkan rawatan di London.
Musa Aman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mendapatkan pasport antarabangsanya dari mahkamah bagi mendapatkan rawatan di London.

Hakim Rozina Ayob membenarkan pasport Musa dilepaskan bemula 15 Jan hingga 10 Feb dengan beberapa syarat tambahan.

Antara syarat itu ialah pergerakan Musa hanya terhad ke Singapura dan London untuk tempoh pelepasan pasport itu dan sekiranya mahkamah mendapati ada pergerakan lain selain dari dua negara berkenaan maka jaminan ke atasnya akan terbatal.

Rozina berkata Musa juga perlu melapor diri di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Pejabat Kedutaan Malaysia di London setiap tiga hari sekali sepanjang tempoh berada di London pada 23 Jan hingga 8 Feb.

“Tertuduh perlu mengemukakan kepada mahkamah alamat penginapan ketika berada di Singapura dan London, sebelum pasport antarabangsa dapat dilepaskan,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Musa, 68, supaya memulangkan semula pasport selewat-lewatnya pada 11 Feb, dan penjamin perlu bertanggungjawab terhadap tertuduh serta mengetahui di mana tertuduh berada.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran untuk mengenakan jaminan sementara bagi pelepasan pasport sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin dan wang jaminan itu akan dikembalikan semula selepas Musa menyerahkan pasport antarabangsanya ke mahkamah setelah kembali daripada menerima rawatan.

Rozina turut memerintahkan Musa melapor diri lebih awal di Pejabat Kedutaan Malaysia di London sekiranya pada hari yang sepatutnya beliau melapor diri adalah pada cuti umum.

“Contohnya hari yang ketiga adalah cuti umum, tertuduh perlu melapor diri pada hari kedua, perlu lapor awal jangan lewat,” kata Rozina ketika menjawab soalan peguam Ridha Abdah Subri yang bertanya sekiranya hari ketiga untuk melapor diri adalah cuti umum.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Feb untuk sebutan semula kes Musa yang turut diwakili peguam Francis Ng Aik Guan dan Amer Hamzah Arshad.

Pada 5 Nov 2018, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri berkenaan berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313) daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Dis 2004 dan 6 Nov 2008 mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA