Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPURĀ – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini dilantik sebagai pemangku Yang di-Pertuan (YDP) Agong bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sultan Muhammad V, semalam.

Memetik laporan Astro Awani, perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber terdekat kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut sumber Istana Perak itu, perkara itu antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Istana Negara, di sini, awal pagi tadi.

Mesyuarat lebih satu jam itu dihadiri oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah; dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Dalam mesyuarat itu juga, keenam-enam Sultan turut menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas majlis memilih YDP Agong ke-16.

Bagaimanapun, sumber memaklumkan butiran lanjut berkenaan mesyuarat hari ini akan dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. – MalaysiaGazette