Tan Cheng Hoe

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambung kontrak Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih skuad utama kebangsaan berkuat kuasa serta merta sehingga 2020

Perkara itu diumumkan selepas Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan bermesyuarat di Wisma FAM di sini sebentar tadi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, Sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada Cheng Hoe adalah melayakkan diri ke final Piala AFF Suzuki 2020 dan sudah pasti kelayakan Piala Asia AFC 2023.

“Itu adalah keutamaan FAM sendiri, bukan sahaja kepada Cheng Hoe tetapi KPI kami bersama di FAM kerana prestasi di atas padang juga cerminan kepada prestasi kami di luar padang,” katanya.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi pula memberitahu, sasaran KPI final Piala AFF Suzuki 2020 tidak memberi tekanan yang besar kepada Cheng Hoe.

“Memang kita letak sampai final sahaja, tetapi melihat kepada pencapaian kita pada edisi lepas, bererti kita sebenarnya mensasarkan juara,” katanya.

Kontrak Cheng Hoe yang tamat pada bulan lalu sebagai jurulatih skuad utama negara selepas mengambil alih kerusi daripada Nelo Vingada pada Disember 2017.

Beliau seterusnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan Harimau Malaya selama 16 bulan dan memimpin pasukan kebangsaan ke pentas akhir Piala AFF Suzuki 2018 namun tewas dengan agregat 2-3 kepada Vietnam pada Disember lalu. – MalaysiaGazette