Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengambil langkah mengurangkan import sisa plastik jika tidak mahu digelar sebagai tong sampah dunia.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, peningkatan import sisa plastik yang mencecah 626,328.56 tan metrik dalam tempoh tujuh bulan dari Januari hingga Julai tahun lalu, lebih cenderung menjadi sebuah negara ‘syurga pencemaran’.

Katanya, jumlah import itu mencatat kenaikan sebanyak 132 peratus berbanding import tahun sebelumnya.

Jelas beliau, melalui data Greenpeace Malaysia, negara ini telah mengimport sisa plastik dari Amerika Syarikat (AS) sebanyak 31.20 peratus iaitu 195,444.46 tan metrik dari Januari hingga Julai 2018, berbanding Januari hingga November 2017 sebanyak 97.544 tan metrik.

“Masalah pengurusan sisa plastik dari negara kita sendiri belum selesai, inikan pula ditambah dengan sisa plastik dari luar negara yang dilihat tidak terkawal.

“Walaupun industri import sisa plastik berpotensi menyumbang pendapatan negara, kerajaan perlu mengambil kira dari aspek pengurusan sisa plastik tersebut bagi mengelakkan pencemaran berlaku yang boleh mengganggu ekosistem manusia dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Che Alias, kerajaan perlu segera menyelesaikan isu berkaitan lambakan sisa plastik AS di Pelabuhan Klang seperti mana berlaku di Pulau Indah, Telok Panglima Garang dan Jenjarom, Kuala Langat.

Ujarnya, kilang haram beroperasi secara haram dan melakukan cara pelupusan sisa plastik yang membahayakan alam sekitar dan kesihatan manusia perlu segera dikenakan tindakan undang-undang yang tegas dan setimpal.

“Kegagalan kerajaan sebelum ini (Barisan Nasional) dalam menangani isu ini tidak boleh diulangi oleh kerajaan (Pakatan Harapan) hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette