Datuk Dr. Aminuddin Hassim. foto SYAFIQ AMBAK, 31 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kadar sewa kuarters milik Perbadanan Putrajaya (PPj) Blok F dan Blok G, di Presint 11, di sini kekal tanpa sebarang kenaikan.

Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, keputusan untuk tidak menaikkan kadar sewa, di kuartes berkenaan kerana ia tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan semasa.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam catatan di Facebooknya mendakwa, kadar sewa kuarters PPj naik berganda dari RM400 kepada RM800 sebulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar sewaan baharu kuarters Presint 11 naik

Beliau turut menyertakan dua keping gambar notis makluman kadar baharu sewaan kuarters Blok F dan G milik PPj, di Presint 11.

Dalam notis makluman kadar baharu, ia menyatakan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan PPj menetapkan kadar baharu bagi sewaan kuarters PPj iaitu Blok F (Aras 1 hingga 16) ialah RM800, manakala Blok G Aras bawah dan Aras 1 ialah RM800, sementara Aras 2 (RM700) dan Aras 3 dan 4 (RM600). – Bernama