Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan kenapa belum ada sebarang tindakan diambil ke atas seorang kakitangan syarikat Cisco System, Eric Liew yang dengan jelas telah menghina Ybekas ang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, lelaki itu seolah kebal dari tindakan undang-undang meskipun banyak laporan polis telah dibuat.

Kata beliau, sejak 9 Mei lalu, ramai individu telah menghina secara keterlaluan Yang di-Pertuan Agong dan sultan dengan menggunakan kata-kata kesat, lucah serta fitnah di media sosial.

“Semalam, individu bernama Eric Liew yang bekerja di Cisco System telah menghamburkan kata-kata kurang ajar terhadap baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Komentar biadab yang dilakukan olehnya telah mengguris perasaan rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya.

“Sebelum ini, ramai individu termasuk blogger pro pemerintah juga telah melakukan tindakan yang sama,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Eric Liew yang memuatnaik kata-kata penghinaan terhadap Sultan Muhammad V.

Setelah menerima kecaman daripada pelbagai pihak, lelaki itu kemudian memohon maaf di atas kenyataan itu.

Bagaimanapun, sehingga hari ini beliau masih bebas dan tidak ada tindakan daripada pihak berkuasa diambil ke atasnya.

Menurut Nasrudin, ini berbeza keadaannya dengan seorang menghina Perdana Menteri pada Mei lalu telah ditangkap dan terbaharu seorang individu mengkritik ADUN DAP di Sarawak turut ditahan selama beberapa hari.

“Mengapa berlaku tindakan terpilih dan dibiarkan pihak yang menghina insititusi raja dan Yang di-Pertuan Agong? Adakah mereka ‘dijaga’ oleh orang atasan?

“Adakah ini makna kebebasan yang dilaungkan selama ini? Sewajarnya tindakan biadab mereka boleh disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Selayaknya tiada kompromi terhadap pihak yang menghamburkan penghinaan, fitnah dan biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong, institusi raja atau siapa sahaja di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette