klia2
Gambar sekumpulan lebah sedang membuat sarang di dinding bangunan klia2 yang telah dimuatnaik oleh Tan Sri Tony Fernandes di Twitternya hari ini

KUALA LUMPUR- Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memuat naik sekeping gambar sekumpulan besar lebah sedang membuat sarang pada dinding bangunan klia2 di Twitter hari ini.

Tony yang terkenal dengan sikap sinikalnya memuat naik kapsyen mengatakan penternakan lebah mungkin boleh menjadi pendapatan baharu kepada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) selaku pengendali lapangan terbang tersebut dan mampu mengurangkan cukai lapangan terbang.

“Sekarang kita ada lebah di klia2.

“Mula-mula ada ulat sampah, kemudian tikus dan sekarang lebah.

“Mungkin klia2 mahu menjadi sebuah zoo atau pengeluar produk madu.

“Mungkin boleh dijadikan pendapatan baharu yang boleh mengurangkan cukai lapangan terbang.

“Bagaimanapun, secara seriusnya, situasi ini (lebah membuat sarang di dinding klia2) adalah merbahaya kepada pelanggan dan kakitangan kami.

“Apakah Ketua Pegawai Eksekutif MAHB yang baharu dan sukar bercakap itu boleh menyelesaikan perkara ini,” katanya di laman Twitternya.

Hantaran yang dimuatnaik kira-kira jam 11.35 pagi itu turut mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu langkah sewajarnya diambil dengan segera.

Ini bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, tweet Tony itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizens. Meskipun ramai yang membalas tweet berkenaan dengan meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera, ada juga menyifatkan pengasas syarikat penerbangan tambang murah itu tidak menggunakan saluran yang betul untuk membuat aduan.

Pemegang akaun @costerolla berkata: “Bukankah sepatutnya perkara ini dilaporkan kepada @mahb?”

Manakala pemegang akaun @jet_law meminta supaya Tony menelefon pihak bomba bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Dalam pada itu, tidak sah sekiranya tweet bersifat sarkastik sebegitu tidak mendapat balasan yang bernada serupa.

@zhafri_zahri berkata: “Madu kelulut boss, tinggi permintaan, bagus untuk kesihatan tetapi tidak elok untuk pelanggan.”

Manakala @akoncloud pula menjawab: “Ia merupakan inisiatif mesra alam sekitar oleh lapangan terbang. Hidupan liar juga perlukan tempat tinggal.”

@rifaiman pula menyatakan lebah-lebah berkenaan mahu pergi berbulan madu. – MalaysiaGazette

https://twitter.com/tonyfernandes/status/1082480971750944768