Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak lebih telus dalam melakukan siasatan dan dakwaan terutama melibatkan pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, pihak berkuasa itu perlu menggelakkan berlaku pendakwaan terpilih sehingga boleh menjatuhkan integriti badan penguatkuasaan pencegahan rasuah di Malaysia.

Katanya, rakyat membuat perubahan dengan mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu kerana untuk melihat negara bebas rasuah dan salah guna kuasa, tetapi PH masih mengamalkan sikap yang sama.

“Sudah menjadi rahsia umum, dua perkara melibatkan cubaan salah guna kuasa dibongkar sendiri oleh pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Pertama, pendedahan Naib Presiden, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengenai cadangan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian.

“Kedua, kenyataan Wan Saiful Wan Jan yang memaklumkan berlaku pengaturan kontrak kerajaan kepada syarikat melibatkan anak pemimpin PPBM Perlis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hal berkenaan adalah satu tindakan yang serius dan tidak menolak kemungkinan kontrak kerajaan diagihkan kepada kepentingan kroni, tidak telus dan menzalimi pihak lain.

Sebelum ini, kata Nasrudin, Setiausaha Politik Menteri Pertahanan yang disiasat SPRM berhubung dakwaan penerimaan sejumlah RM800,000 daripada pihak tertentu untuk menyelesaikan hutang dan kemungkinan wujud kepentingan tertentu dalam memperoleh kontrak kerajaan.

Namun, kata beliau, sehingga kini tiada apa-apa perkembangan berhubung kes berkenaan. – MalaysiaGazette