KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki bergelar datuk seri kerana dipercayai menggunakan potret Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membuat siling emas tanpa kebenaran dalam satu serbuan di Batu Caves, Selangor petang semalam.

Ahli perniagaan yang berusia 30 tahun itu ditahan pada 7.15 malam semalam susulan laporan polis yang diterima daripada pihak Istana Abdul Aziz sebaik menyedari pembuatan dan penjualan Gold Coin (Syiling Emas) yang menggunakan potret berkenaan tanpa kebenaran daripada baginda berdua pada 28 Dis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, berikutan itu polis telah melakukan siasatan serta risikan sebelum mendapati terdapat dua ahli perniagaan yang bergelar datuk seri dan datuk terlibat dengan kejadian itu.

“Berdasarkan risikan yang dilakukan, polis kemudian berjaya mengesan datuk seri berkenaan di sebuah kedai makan dan menahannya kerana dipercayai menipu dengan melakukan pembuatan dan penjualan siling emas menggunakan potret diraja tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita di Kuantan.

Beliau berkata polis juga melakukan serbuan di sebuah rumah dipercayai milik rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dengan perbuatan tersebut pada 10.30 pagi semalam, namun didapati tiada di rumah.

Siasatan mendapati lelaki yang turut bergelar datuk itu, telah keluar negara bersama keluarganya untuk bercuti sejak 23 Dis lalu dan semakan mendapati dia masih belum kembali ke Malaysia, katanya.

Susulan penahan itu, polis merampas sebuah katalog penjualan siling emas itu, sekeping siling emas tertera potret Sultan Pahang dan Jata Pahang serta sekeping siling emas tertera potret Pemangku Raja Pahang dan Jata Pahang.

Mohd Wazir berkata hasil soal siasat yang dilakukan, suspek mendakwa hanya mempunyai empat set buku katalog berkenaan dan satu daripadanya telah dirampas polis semasa serbuan.

“Suspek turut mendakwa hanya membuat dua keping siling emas itu bagi tujuan diserahkan kepada orang tengah supaya dapat dibawa menghadap Pemangku Raja Pahang bagi mendapat perkenan dan kebenaran.

“Berdasarkan penilaian polis mendapati kos pembuatan untuk sekeping siling emas hanya RM8,000 namun suspek menjualnya dengan harga RM18,888.

“Siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan dan polis sedang mengesan rakannya bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.