Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan untuk mencium Al-Quran sambil diperhatikan isteri baginda Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang. foto MALAYSIA GAZETTE, 15 JANUARI 2019

PEKAN – Kerabat Kesultanan Pahang akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi mencari pewaris untuk diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang yang baharu.

Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, perkara itu perlu dibincangkan dengan keluarga baginda terlebih dahulu dan keputusan mengenainya akan dimaklumkan selepas itu.

Titah baginda, rakyat Pahang sudah pasti dapat meramal waris pengganti dan ramalan berlandaskan tradisi kesultanan Pahang.

“Insya-Allah saya percaya semua sudah lebih kurang boleh ramal kalau ikut tradisinya.

“Cuma saya nak tetapkan dan meyakinkan diri saya dahulu barulah kita boleh memutuskan dan akan umumkan dalam masa terdekat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas istiadat pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Secara tradisi, jawatan Tengku Mahkota Pahang akan diserahkan kepada putera sulung kepada pemerintah semasa.

Putera sulung baginda ialah Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah.

Ditanya mengenai pendirian baginda yang akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua negeri dengan kerajaan negeri pimpinan ketika ini, baginda menegaskan boleh bekerja dengan sesiapa sahaja demi kebaikan semua pihak khususnya rakyat di negeri itu.

Tambahnya, baginda akan bekerja dan akan menabur khidmat kepada semua rakyat serta individu yang akan bekerja dengan baginda mestilah orang yang betul dan mestilah boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat Pahang. – MalaysiaGazette