PTPTN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penangguhan yang bakal memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam itu berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September ini.-Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Nasional mendesak Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengembalikan semula faedah diskaun kepada mahasiswa dalam melunaskan pinjaman pendidikan mereka.

Timbalan Presidennya, Haziq Shafe’ee berkata, faedah yang kini tidak lagi dinikmati peminjam ialah diskaun 10 peratus bayaran balik yang dibuat menerusi potongan gaji atau debit langsung mengikut jadual dan diskaun 20 peratus bagi pembayaran penuh.

“Kami kecewa apabila inisiatif yang dipergiat selama ini dihentikan tanpa sebab kukuh.

“Kami percaya inisiatif sedemikian bukan saja dapat meringankan bebanan kami selepas bergraduasi, malah memberi motivasi untuk bekerja keras demi kecemerlangan diri dan negara,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan memorandum kepada PTPTN, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, seramai tiga wakil persatuan mahasiswa berkenaan menyampaikan memorandum itu kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.

Haziq turut menjelaskan, satu petisyen dalam talian mengenai perkara ini telah diwujudkan oleh persatuannya yang mana ia telah ditandatangani oleh 5,000 orang.

Haziq berkata, selain dua faedah diskaun itu, persatuan yang mempunyai 2,000 anggota di seluruh negara itu turut meminta pengecualian bayaran balik pinjaman untuk penerima Ijazah Kelas Pertama dikekalkan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop berkata, pihaknya akan melakukan libat urus dengan persatuan mahasiswa bagi menjelaskan mengenai faedah diskaun bayaran balik berkenaan, berkemungkinan pada Februari ini.

“Dua diskaun itu sememangnya sudah tiada bagi tahun ini. Sebab itulah kita akan mengadakan libat urus dengan kumpulan sasar. Jika kerajaan berpendapat ia perlu diadakan, kerajaan akan buat keputusan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan pengecualian bayaran balik pinjaman untuk penerima Ijazah Kelas Pertama masih dikekalkan bagi mahasiswa daripada kumpulan B40 dan M40 seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini.

Pada Oktober 2017 ketika pembentangan Bajet 2018, kerajaan telah mengumumkan pelanjutan pelaksanaan dua diskaun berkenaan sehingga 31 Disember 2018. – Bernama