Datuk C. Sivarraajh. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivarraajh Chandran memberi ‘nasihat’ kepada Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas untuk menyelesaikan isu berbangkit dalam partinya daripada bercakap tentang MIC selepas ini.

Kata Sivarraajh, MyPPP sudah keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan sebagai sebuah parti komponen yang telah sekian lama berada dengan BN, adalah tidak elok untuk mengkritik serta membuat pusingan ‘U’.

“Dulu Kayveas puji Datuk Seri Najib Tun Razak sambil mengkritik kepimpinan Tun Mahathir.

“Bila anda sudah keluar, sudahlah. Jangan cakap tentang isu itu lagi. Jangan cakap tentang MIC juga.

“Betul beliau kata, semua calon Cameron Highlands adalah calon luar dan bukan tempatan tetapi hakikatnya semua yang luar ini yang menang Pilihan Raya.

“Lebih baik fokus pada isu yang sedang melanda parti anda, kamu sudah keluar buat apa kritik lagi,” katanya selepas sambutan Ponggal di kuil Sri Subramaniyar Ringlet, Cameron Highlands anjuran Wanita MIC Kebangsaan.

Beliau mengulas kenyataan Kayveas calon MIC yang dipertaruhkan sebenarnya tidak layak kerana bukan dalam kalangan anak tempatan seperti dirinya yang bukan sahaja anak jati malah telah mula bekerja sejak tahun 90-an lagi.

Dalam pada itu, secara sinis Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC berkata, sehingga sejak lapan bulan lalu beliau masih mencari lokasi sebenar rumah Kayveas di Cameron Highlands.

“Saya juga sedang cari rumah Kayveas sejak lapan bulan ini, belum jumpa lagi. Tidak pasti di mana, masih sedang cari,” ujarnya.

MGF14012019_PC KAYVEAS BATAL PARTI03 (1)
Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas

Baru-baru ini selepas bertindak menarik diri daripada bertanding pada saat-saat akhir, Kayveas juga membuat kejutan dengan mendedahkan bagaimana MyPPP ‘dibuli’ dalam komponen BN.

Kata Kayveas, beliau umpama boneka untuk pentas BN dan majlis-majlis lain, hakikatnya BN bukan sahaja telah mengkhianati semanagat setiakawan yang menjadi tunjang perjuangan komponen terbesar negara ini.

MyPPP juga kini berdepan dengan krisis pembatalan parti yang diasaskan lebih 60 tahun itu selepas dua kumpulan yang mendakwa kepimpinan diterajui oleh presiden yang berbeza. –MalaysiaGazette