Rina Harun
Rina Harun

KUALA LUMPUR- Sayap wanita Pertubuhan Parti Bersatu Malaysia (PPBM) berharap supaya calon bagi pilihanraya kecil DUN Semenyih dipilih daripada golongan wanita.

Setakat ini, masih tiada calon wanita yang bertanding di dalam pilihanraya kecil selepas terbentuknya kerajaan baharu pasca- 9 Mei 2018.

Ketua Srikandi PPBM, Datuk Seri Rina Harun berkata gembira sekiranya wanita dipilih mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding di dalam pilihanraya berkenaan.

“Tentulah saya harap ada calon wanita tetapi semuanya akan diputuskan dalam mesyuarat peringkat kepimpinan,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Dialog Usahawan Wanita hari ini.

PRK Semenyih merupakan pilihan kecil raya keempat di Selangor dalam tempoh lapan bulan selepas pilihanraya umum ke-14 Mei lalu.

Dalam perkembangan berbeza, Rina berkata, kaji selidik bagi mendapatkan maklum balas mengenai pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur akan siap pada awal Februari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, kaji selidik itu amat penting di dalam menentukan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru.

“Situasi agak rumit di Kampung Baru kerana ada kumpulan yang mahukan pembangunan dan ada pula yang tidak mahukan pembangunan.

“Jadi, apabila kita memperoleh dapatan kaji selidik tersebut, agak mudah untuk merencanakan pelan pembangunan di Kampung Baru kerana kita perlu ada satu penyelesaian sahaja bagi mengatasi isu tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette