KUALA LUMPUR – Pelabur asing melabur sebanyak RM417.3 juta dalam bursa tempatan pada mingu lalu.

Ia merupakan aliran masuk tertinggi direkodkan sejak September 2018.

MIDF Research berkata, pelabur asing beralih menjadi pembeli sejak dua minggu lalu selepas sembilan minggu menjadi penjual.

Pelabur asing membeli sebanyak RM51.7 juta pada hari Selasa diikuti RM378 juta pada seluruh minggu tersebut.

Kemuncak belian pada hari Jumaat selepas Wall Street Journal melaporkan Amerika Syarikat mempertimbangkan pelbagai kaedah untuk menarik balik tarif ke atas produk-produk China.

Ia bertujuan untuk menangani kelembapan ekonomi selepas data perdagangan China menjunam.

Eksport dan import China menunjukkan kemerosotan pada bulan Disember, kesan kepada perang perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi dunia itu.

Firma penyelidikan itu berkata, setakat tahun ini, pelabur asing membeli RM424.5 juta atau AS$103.4 juta ekuiti tempatan.

Bagi perbandingan dengan tiga lagi negara ASEAN iaitu Filipina, Indonesia dan Thailand, Malaysia merekodkan aliran masuk bersih pelabur asing paling rendah.

Selain aliran masuk ke bursa, kadar penyertaan dalam kalangan kumpulan pelabur juga merosot.

Nilai Purata Dagangan Harian (ADTV) asing susut 20.7 peratus di bawah paras RM1 bilion dan ADTV bagi pasaran runcit dan institusi tempatan pula masing-masing jatuh 14.9 peratus dan 17 peratus.

Namun, pasaran runcit masih kekal positif di paras RM800 juta. – MalaysiaGazette