Sallehen Mukhyi
Sallehen Mukhyi

SHAH ALAM – Pas Selangor akan menggerakkan seluruh jenteranya untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Menurut Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi, Pas akan pastikan undi yang diperolehi calonnya, Mad Shahmour Mad Kosim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu berpindah kepada calon UMNO pada 2 Mac ini.

Katanya, pada PRU itu, calon Pas mendapat 6,966 undi dan ditambah lagi dengan kira-kira 20 peratus undi baharu yang akan dicari oleh jentera Pas menerusi kempen secara menyeluruh sepanjang kempen ini.

“Fokus kita ialah dapatkan semua 6,966 undi dan akan cari tambahan 20 peratus lagi dalam kalangan pengundi Pas. Kita mahu mereka mengundi calon UMNO.

“Kita yakin UMNO boleh menang pada PRK ini berdasarkan konflik dan krisis yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih kerajaan Persekutuan pada 10 Mei lalu,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi UMNO Selangor di Bangunan UMNO Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan kepimpinan UMNO negeri.

Menurut Sallehen, Pas tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO memandang sebelum ini dalam dua PRK iaitu Sri Kandis dan Seri Setia dan kini di Parlimen Cameron Highlands telah memberi pengalaman kepada parti itu.

Katanya, kerjasama bagi PRK Semenyih ini lebih mematangkan lagi Pas untuk lebih erat dan rapat dengan UMNO dan BN.

“Kita menerima arahan dari Pas Pusat agar (Pas Selangor) memberi kerjasama ini kepada UMNO negeri. Ini terbukti, apabila saya tidak keseorangan dalam mesyuarat ini.

“Saya bersama Penerangan Pas negeri, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda Kawasan Hulu Langat turut turun.

“Kita akan buka semua bilik gerakan Pas di kawasan DUN Semenyih sebaik diarahkan,” katanya. – MalaysiaGazette