Xavier Jayakumar
Menteri Air, tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar (tengah) melihat pameran pada lawatan kerja rasmi di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang menyiasat tindakan Timbalan Menterinya yang didakwa menggunakan aset kerajaan milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk berkempen di Pilihan Raya Kecil di Cameron Highlands.

Menterinya, Dr. Xavier Jayakumar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausahanya untuk menyiasat dakwaan itu secara terperinci untuk tindakan lanjut.

“Saya sudah meminta siasatan dalaman kepada kementerian dan mengarahkan KSU untuk mendapatkan butiran terperinci berkaitan dakwaan itu.

“Malah Ketua Pengarah Perhutanan negeri Pahang diarah untuk memberi laporan segera kepada saya.

“Saya akan melihat bentuk tindakan atau keputusan sejurus selepas menerima laporan lengkap itu,” katanya kepada pemberita di Pantai Dalam hari ini.

Terdahulu beliau bercakap kepada media selepas melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 di Pantai Dalam hari ini.

Ditanya mengenai sebarang tempoh masa terhadap penerimaan laporan itu, beliau memberitahu, ia akan dterima selepas PRK Cameron Highlands Sabtu ini.

“Saya tidak menetapkan sebarang tempoh masa kerana ia boleh disediakan sekejap sahaja.. saya rasa selepas PRK Cameron akan terima iaitu minggu hadapan,” ujar beliau tanpa mengulas lanjut. – MalaysiaGazette