Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua kiri) hadir sesi walkabout bagi membantu Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Pekan Ringlet, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands bakal menjadi medan pungutan suara atau referendum bagi rakyat menyuarakan bantahan terhadap kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan pilihan raya di kerusi P078 itu penting sebagai kayu pengukur kepada prestasi PH memerintah negara sejak sembilan bulan lalu.

“Memanglah kita tak boleh lari daripada apa yang telah berlaku dalam PRU14, di mana telah berlaku janji pilihan raya yang begitu besar sekali, janji yang tidak dijangka dalam banyak perkara.

“Hari ini kita tahu hanya satu saja yang telah ditunaikan iaitu pemansuhan GST tapi dia janji SST akan turunkan harga menyebabkan rakyat lebih senang, tapi sebaliknya rakyat lebih susah hari ini.

“Realiti sebaliknya dan ini tak masuk soal pendapatan peneroka yang jatuh ke tahap tak pernah saya lihat dalam sejarah Malaysia begitu tertekan sekali kehidupan mereka.

“Ini semua menuntut pengundi di Cameron Highlands menentu dan menyoal kebertanggungjawaban PH atas janji-janji yang tidak ditunaikan mereka,” katanya ketika ditemui selepas melakukan walkabout di pekan Ringlet, di sini, hari ini.

Terdahulu Najib selaku Ahli Parlimen Pekan membuat kunjungan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Ringlet dan turut menyampaikan amanat kepada jentera parti.

Najib turut meluangkan masa sejam untuk menyantuni rakyat dan pengundi di kawasan Ringlet sebelum menikmati juadah kari kepala ikan di Gerai Makan Majlis Perbandaran Cameron Highlands (MDCH), di sini. – MalaysiaGazette