Azizan Salleh
Pengerusi Gerakan Reformasi Veteran, Azizan Salleh bercakap pada sidang media berkaitan isu semasa veteran Angkatan Tentera Malaysia di Tugu Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) menuntut keahlian anggota Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang baharu diwujudkan tidak melupakan individu yang selama ini berjuang dan pernah disenaraihitamkan oleh kerajaan terdahulu.

Pengerusinya, Azizan Salleh berkata, pelantikan ahli majlis baharu dalam menggalas tugas menjaga daripada kalangan orang lama dalam organisasi veteran kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat tidak banyak merubah kebajikan veteran kerana mereka tidak mesra dengan isu berkaitan kebajikan ahli.

Katanya, peluang yang telah diberikan sebelum ini kepada mereka untuk mewujudkan idea baharu dalam menggalas tugas menjaga kebajikan keseluruhan warga veteran tidak banyak dilakukan.

Tegas beliau, MVK perlu dibarisi sentuhan individu dan idea baharu yang lebih cakna dengan kebajikan warga veteran.

“Beberapa agensi korporat berkaitan ATM sepatutnya dapat membantu warga veteran meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kita juga menuntut Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melihat isu ini sebagai sebahagian dari agenda reformasi ke atas organisasi dalam ATM dan kebajikan veteran seluruhnya,” katanya pada sidang media di tapak Tugu Pahlawan di sini, hari ini.

Azizan turut mendesak Kementerian Pertahanan atau kerajaan mengadakan simposium khas yang membincangkan hala tuju organisasi agar dapat menjana idea baharu yang memberi manfaat kepada warga veteran ATM. – MalaysiaGazette