David Kim (depan) Pengurus Jualan Rantau Asia Pasifik untuk Rolls-Royce Motor Cars bersama Anas Zawawi Khalid, Pengarah Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur bersama Cullinan yang baharu dilancarkan di ibu negara baru-baru ini

KUALA LUMPUR – Rolls-Royce Motor Cars memperkenalkan Cullinan, kenderaan sport utiliti (SUV) paling mewah di Malaysia.

Dibina dengan kerangka unik seni rekaan mewah yang mampu meningkatkan tahap prestasi, keselesaan dan penghalusan luar biasa dalam segmen SUV.

Setiap unit Rolls-Royce Cullinan berciri Bespoke dijual bergantung kepada spesifikasi pelanggan pada harga anggaran dari RM 1.8 juta (sebelum cukai).

Cullinan berbadan tinggi mencecah 1,836mm, ketinggian yang dikukuhkan dengan nisbah kaca terhadap
logam di bahagian sisi serta roda 22 inci memberikan keseimbangan.

Tema rekaan lampu belakang juga diringkaskan dengan dua unit menegak yang memancarkan cahaya dan dihiasi jalur aksesori yang nipis di tengah-tengahnya secara minimal.

Ciri fungsional yang terakhir ialah paip eksos logam dan plat kelincir yang terdedah, kedua-duanya melambangkan kuasa dan kebolehan Cullinan.

Cullinan ditawarkan dua pilihan rekaan dalaman, dengan ruangan tempat duduk untuk tiga orang di belakang dan versi lima tempat duduk sesuai kepada mereka yang berkeluarga.

Keseluruhan tempat duduk belakang dapat dilipat secara elektronik, menghasilkan ruang muatan mendatar atau
dalam muatan dalam pembahagian 2/3 dan 1/3, mengukuhkan lagi ciri praktikalnya.

Penumpang belakang masih boleh membawa muatan panjang, atau menggunakan tempat duduk belakang berkarpet sebagai meja apabila perlu, untuk meletak barangan peribadi berharga mereka.

Kompartmen belakang atau but memuatkan ruang sebesar 560 liter, atau 600 liter apabila rak ditanggalkan.

Apabila tempat duduk belakang dilipat, Cullinan dapat membawa muatan sepanjang 2245mm dan kapasiti muatan seberat 1930 liter – salah satu yang terbesar dalam segmen SUV mewah.

Sementara itu, tempat duduk Cullinan mempunyai karakter yang berani dan berkeyakinan, mempamerkan kualiti dan kehalusan kerja tangan Rolls-Royce. Direka bersesuaian dengan kualiti Cullinan yang lebih kasual dan dinamik, grafik bentuk ladam ringkas lagi moden digunakan untuk menyokong tempat duduk.

Tempat duduk baharu ini membuktikan penguasaan kraf kulit Rolls-Royce yang tinggi kerana keseluruhan panel penyandar dibuat daripada sehelai kulit tunggal untuk mewujudkan permukaan tiga-dimensi.

Cullinan ialah SUV berteknologi paling maju di dunia. Selepas diaktifkan dengan kunci Bespoke, Cullinan merendahkan badan kereta sebanyak 40mm untuk kemasukan – melalui pintu koc yang unik – ke dalam kabinnya dengan mudah.

Penumpang memasuki kenderaan melalui pembukaan pintu yang luas, pintunya sensitif sentuh menutup secara elektronik.

SUV mewah yang terbaik di dunia ini turut dilengkapkan dengan suspensi udara empat-penjuru pelarasan
automatik, sistem pacuan semua-roda yang sofistikated, sistem kemudi semua-roda, kerja semula menyeluruh enjin Rolls-Royce V12 turbo kembar 6.75 liter yang baharu (mencapai tahap tork 850Nm pada revolusi serendah 1,600rpm) dan transmisi lapan-kelajuan. – MalaysiaGazette