Sebahagian pengundi beratur bagi membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Sekumpulan penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sudah mula berkumpul dan bersorak bagi melobi pengundi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands hari ini.

Mereka mula berlobi kira kira 100 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di bahu jalan Utama melaungkan slogan parti sokongan masing masing.

Mereka berdiri di bahu jalan menuju ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekolah itu menunjukkan jari tanda bagus ke arah kenderaan yang lalu sebagai meraih sokongan untuk calon masing masing.

Kumpulan penyokong PH berkumpul betul-betul di sebelah penyokong BN sambil melaungkan “Hidup Pakatan Harapan” dan Reformasi”.

Sebaliknya, penyokong BN yang terdiri dalam kalangan wanita pula menjerit “Reformasi sudah basi” ke arah penyokong PH.

Penyokong PH siap memegang bendera Harapan berwarna merah serta payung PKR sambil melambai tangan ke arah kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Suasana mengundi di PDM SMK Sultan Ahmad Shah yang mempunyai pendaftaran pengundi tertinggi iaitu 3,201 pengundi berjalan lancar.

Sebanyak 7 saluran mengundi dibuka termasuk dua saluran khas untuk Orang Kelainan Upaya(OKU).

Peti undi pertama dijangka diturunkan menerusi helikopter selepas PDM SK Lemoi salah satu pusat mengundi di kawasan pedalam DUN Tanah Rata ditutup pukul 1 tengahari ini nanti.

Keadaan lalu lintas di hadapan SMK Sultan Ahmad Shah perlahan dan polis trafik sedang mengawal aliran. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast